MAC 2024

Tangani Banjir, Projek Bina Terusan Dalam Fasa Ketiga


KUCHING: Projek pembinaan satu terusan untuk mengalirkan air dari Sungai Sarawak ke Sungai Salak kini berada di fasa ketiga dalam usaha menangani banjir di negeri ini.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, projek berkenaan membolehkan air disalirkan ke Sungai Salak dan tidak menumpukan sepenuhnya ke Sungai Sarawak.

“Seperti yang berlaku sebelum ini, air yang mengalir menyebabkan limpahan dan banjir di kawasan sekitarnya,” katanya pada Majlis Pengagihan Bubur Lambuk di Surau Al- Hidayah, Taman Sejoli di sini, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, menambahkata, beberapa projek lain seperti pembinaan jalan raya baharu dan jambatan akan dibuat terlebih dahulu.

“Apabila kita membuat terusan ini, kita terpaksa membina jalan raya baharu dan jambatan sebelum kita teruskan projek membuat terusan seperti mana yang sedang kita laksanakan dalam fasa kedua projek ini.

“Ini kerana, penduduk akan menghadapi masalah untuk melintas terusan sekiranya jambatan dan jalan tidak dibina terlebih dahulu,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, pihaknya bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak akan mengadakan perjumpaan bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk perbincangan lanjut berhubung perkara itu.

Tambah Fadillah, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama JPS Sarawak dan konsultan yang dilantik esok hari.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.